YB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memegang bola kristal sebagai simbol perasmian majlis tersebut.
8 Jun, Chow Kit – Usaha murni Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menganjurkan program bagi merapatkan ukhuwwah dengan seluruh warga kota tanpa mengira status, kedudukan dan bangsa perlu diberi keutamaan. Oleh yang demikian melalui program ‘Salam Hadhari JAWI & MAIWP – Masih Ada Yang Sayang’ seluruh warga JAWI, MAIWP dan juga agensi serta syarikat dibawahnya turut serta merealisasikannya. Ia turut mendapat kerjasama daripada agensi-agensi kerajaan serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti DBKL, PDRM, Yayasan Salam, Pengasih, Pusat Perlindungan PERNIM dan beberapa NGO-NGO lain.
Institut Profesional Baitulmal (IPB) yang merupakan salah satu agensi di bawah MAIWP tidak ketinggalan di dalam menyemarakkan lagi program tersebut. Dengan cara ini, masyarakat yang hadir pada program itu dapat mengetahui lebih lanjut berkaitan institusi pendidikan di bawah MAIWP khususnya IPB. Sungguhpun kewujudan IPB sudah 16 tahun, namun warga kota amnya dan masyarakat disekitar amnya masih kurang mengetahui adanya IPB dan fungsi yang dimainkan untuk membantu umat islam. Dengan berkonsepkan Hari Bertemu Pelanggan, hadirin dapat mengetahui banyak maklumat berkaitan setiap agensi yang terlibat.
Program seperti ini dirangka dan dicadangkan untuk diadakan sebanyak 4 kali setahun bagi memberi pembelaan kepada warga kota yang memerlukan. Ia merupakan langkah proaktif untuk membudayakan kaedah Dakwah Bil Hal dengan merapatkan komuniti yang sering dipingirkan oleh masyarakat. Jalinan mesra agensi agama dengan masyarakat ini diharap dapat memberikan galakan untuk sama-sama berperanan di dalam mengatasi masalah sosial. Justeru memperkasakan peranan JAWI dan MAIWP dalam membantu golongan sasar dalam bentuk pemberian bantuan, pendidikan, dakwah, informasi yang tepat dan juga motivasi untuk hidup sebagai muslim yang bertaqwa.
Berucap sewaktu merasmikan program tersebut, YB. Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri menjelaskan bahawa pihak kerajaan tidak pernah meminggirkan komuniti disayangi malah memperuntukan jutaan ringgit setiap tahun bagi usaha pemulihan dan pencegahan. Seperti penagihan dadah, 28 Pusat Serenti telah ditubuhkan di seluruh negara dan pembiayaan setiap pelatih ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan dengan kos RM19.80 sehari bersamaan RM593.00 sebulan. “Mengikut data dari Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), daripada tahun 1988 – 2006, seramai 297,470 penagih dikesan termasuk 50,000 adalah penagih tegar. Setiap bulan, sebanyak 1,300 pertambahan penagih baru dikesan. Apa yang membimbangkan sebanyak 65% merupakan mereka yang berumur antara 20-29 tahun. Melihat hal ini, penyelesaian perlu dicari kerana generasi ini merupakan cermin bagi kegemilangan atau keruntuhan negara pada masa depan.”
“Usaha proaktif ini perlu dipergiatkan lagi agar persepsi sesetengah masyarakat yang meletakkan sesebuah jabatan agama hanya tahu menghukum dan tidak pernah turun ke bawah bagi melihat permasalahan umat islam perlu dikikis. Saya mengharapkan program seperti ini dapat membuka mata masyarakat untuk lebih memahami peranan agensi agama.”
Majlis tersebut turut diserikan dengan alunan bacaan al-quran, deklamasi pusi dan nasyid oleh Komuniti disayangi serta solat zohor dan solat hajat berjemaah.
Galeri gambar KLIK